(G)una (P)un (S)eram

Susah nak lupakan sebuah kejadian misteri yang berlaku pada 2014. Ia sebuah kejadian yang mengajar aku bahawa bahaya terbesar GPS bukannya "guna pun sesat". Tetapi yang paling bahaya adalah apabila ia membawa kita ke lorong dan liku seram yang meremangkan segenap bulu roma.

Dalam jam 8:30 malam, aku dan isteri turun dari bilik hotel, lantas masuk ke dalam kereta. Niatnya mahu makan malam di Pantai Cahaya Bulan. Aku hidupkan GPS di telefon Nokia Lumia dan mencari destinasi tujuan. Jaraknya kira-kira 17 KM dari Kota Bharu, sekitar 30 minit perjalanan.

Kebiasaannya, aku percaya bulat-bulat pada GPS. Selama ini memang tak pernah sesat dan tak pernah dia bawa ke jalan yang pelik-pelik. Disuruh ke kanan, ke kanan lah aku. Disuruh ke kiri, ke kiri lah aku. Begitulah taatnya aku pada GPS.

Separuh perjalanan, GPS menyuruh aku belok ke satu jalan yang lebih kecil. Waktu itu aku berada di jalan besar. Jalan yang kecil ini pada awalnya dibarisi oleh rumah-rumah kampung yang agak rapat di kiri kanannya. Namun semakin jauh ke dalam, jalannya semakin sempit. Ia sudah bertukar menjadi sebuah lorong. Hanya muat untuk kereta dan motorsikal berselisih.

Dalam hati terdetik rasa pelik kenapa GPS suruh aku ikut lorong yang sempit ini padahal Pantai Cahaya Bulan macam masih jauh. Aku bersangka baik pada GPS; mungkin dia nak aku ikut jalan pintas.

Malangnya, kira-kira 5 minit melalui "jalan pintas" ini, perasaan hati semakin berkocak. Lorongnya tetap sempit dan semakin gelap. Makin jarang juga berselisih dengan rumah-rumah. Aku mahu sahaja patah balik ke jalan utama, tetapi memandangkan keadaan lorong sangat sempit dan suasananya yang gelap gelita membuatkan ia sukar dilakukan.

Aku berhenti sejenak untuk membelek GPS. Mahu memastikan sama ada aku ini benar-benar sedang menuju ke Pantai Cahaya Bulan atau pun ke sebuah pantai mistik tempat jin jembalang berpesta sakan?

Destinasinya memang tepat. Jika aku terus mengikut laluan yang "dicadangkan" GPS, aku pasti akan tiba di Pantai Cahaya Bulan. Kalau ingatan aku tidak silap, sekurang-kurangnya ada 10 minit lagi perjalanan.

Maka memikirkan kalau aku cuba patah balik ke jalan besar, laluannya pun memang sudah menyeksakan jiwa, jadi rasanya baik aku ikut sahaja laluan yang terpapar di skrin GPS.

Perjalanan diteruskan. Aku tak jumpa walau sebuah kereta pun yang turut melalui lorong yang sedang aku lalui ni. Cuma sesekali berselisih dengan motorsikal. Itu pun sudah cukup buat hati lega.

Tiba-tiba aku merentasi sebuah kawasan perkuburan yang sangat sunyi. Tiada rumah berdekatan. Betapa seriau hati aku waktu itu. Isteri aku senyap sahaja. Tapi aku boleh nampak perasaan takut bersinar di matanya. Aku memastikan kereta berkunci rapat walaupun hakikatnya pocong dan pontianak mana kisah kereta aku berkunci atau pun tidak kalau dia memang nak kacau.

Perjalanan tidak sampai seminit melalui tanah perkuburan ini dirasakan seperti berjam-jam lamanya. Tak lama selepas meninggalkan tanah perkuburan itu, barulah nampak cahaya lampu dari rumah orang kampung.

Dan tiba-tiba GPS membawa aku lalu betul-betul di hadapan sebuah surau yang mana halamannya turut berfungsi sebagai sebuah lorong. Konon-konon bila dah jumpa surau rasalah sedikit selamat. Lagipun tinggal sikit sahaja lagi nak sampai.

Jadi aku pun teruskan lagi perjalanan dan...WTF?

Aku bertembung lagi dengan sebuah tanah perkuburan! Aku tanya isteri, sama ada ini kubur yang sama dengan yang tadi ke? Dia pun tak pasti sebab perkuburan yang kedua ini suasananya seakan-akan sama dengan yang pertama tadi. Adakah aku sudah kena main?

Tapi aku yakin ini tanah perkuburan yang lain sebab di sini ada sebuah pokok besar menjulang ke langit. Rasa-rasanya begitulah sebab tak ada kerja aku nak membelek teliti tanah perkuburan di waktu pekat malam. Hanya kereta aku sahaja yang melalui jalan kubur pada waktu itu.

Kali ini derita drama sinetron seram aku lebih panjang berbanding Episod 1 kerana GPS mendesak aku melalui lorong yang bersebelahan dengan 2 sisi tanah perkuburan. Isteri aku senyap tak berbunyi. Bunyi nafas aku rasanya lebih kuat daripada bunyi cengkerik dan unggas malam. Aku terpaksa acah-acah kuat untuk menenangkan suasana. Perjalanan disirami kegelapan malam diteruskan.

Beberapa minit kemudian, barulah aku berjaya keluar dari lorong puaka. Dan tak lama selepas itu, tibalah aku di Pantai Cahaya Bulan. Di malam itu, angin dari laut kuat bertiup dan ombaknya deras menghempas pantai.

Ada banyak kedai-kedai makan di sini. Aku memilih sebuah kedai tom yam untuk mengisi perut yang lapar. Sambil makan, sambil bersembang dengan isteri. Topiknya: Kenapa GPS membawa kita lalu ke jalan yang seram?

Aku membelek GPS dan mendapati kalau guna jalan besar, jaraknya lebih kurang sama. Malah mungkin lebih pantas sebab aku boleh memandu dengan lebih laju lagi. Jadi itu yang buat aku tertanya-tanya kenapa GPS suruh aku ikut jalan pintas yang sempit dan gelap?

Waktu balik ke Kota Bharu, GPS tak suruh aku ikut jalan dalam. Kalau pun dia suruh, sumpah aku derhaka! Aku cadang bila balik rumah nanti, baru aku nak buat analisis tentang jalan seram yang dipilih GPS itu.

Dijadikan cerita, GPS seakan-akan tahu aku ingin membedah siasatnya bila pulang nanti. Jadi 4 hari sesudah kejadian itu berlaku, telefon aku membunuh diri dengan terjun ke dalam laut di Pulau Perhentian.


Ya, ketika gambar di atas diambil, di dalam poket seluar aku ada GPS merangkap telefon durjana itu. Semenjak itu, singkatan GPS bagi aku adalah "Guna Pun Seram".

P.S: Ada juga aku guna Google Maps dan HERE Maps untuk menjejak semula laluan puaka itu, tapi tak dapat jumpa.

// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=833830523390046&set=a.465191943587241.1073741827.100002893189501&type=3

(G)una (P)un (S)eram (G)una (P)un (S)eram Reviewed by Reazal on 6:10:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.