Jalan Jalan Hakone - Bahagian 1

Cara mudah nak teroka Hakone yang bergunung-ganang adalah dengan menaiki pengangkutan awam. Tapi di sini unik sikit sebab tak terhad kepada bas dan keretapi semata-mata.

Aku cadangkan beli Hakone Freepass sebelum ke Jepun. Tak kelam kabut. Nanti boleh naik tanpa had kesemua jenis kenderaan yang aku nak cerita ni. Lagipun, Hakone Freepass ni dah termasuk tiket keretapi pergi balik Tokyo-Hakone.

Dari Stesen Hakone-Yumoto, aku naik Hakone Tozan Train. "Tozan" bermaksud "mendaki bukit". 3 kali keretapi 2-gerabak ini menukar arah pergerakan sepanjang pendakian. 

Kalau naik ketika Jun dan Julai, katanya pemandangan lebih cantik sebab banyak bunga berkembang. Sebab aku pergi bulan April, pokok pun masih banyak yang gondol. Mujur ada sakura di kiri kanan sebagai pengganti.

35 minit di dalam perut keretapi bukit, sampailah di Stesen Gora. Ketinggiannya 541 meter dari paras laut. Ada benda comel ni betul-betul di penghujung landasan. Entah apa tujuannya. Mungkin sekadar nak kawaii sahaja.

Nasib baik aku cari hostel yang 5 minit sahaja berjalan kaki dari Stesen Gora. Jadi aku simpan beg dulu di hostel sebelum bergerak lagi. 5 minit berjalan ni pun rasa penat nak meninggal sebab kena mendaki sambil menggalas beg. Jadi mohon rehat kejap di balai polis yang entah ke mana polisnya.

Dari Stesen Gora, kita naik kereta kabel untuk pendakian yang lebih curam sehingga ke Stesen Sounzan. 

Bila naik kereta kabel, pilih tempat paling depan sekali. Lagi luas mata memandang.

Sampai dah pun di Stesen Sounzan. 761 meter dari paras laut. Dari Stesen Gora ke Sounzan yang sejauh 2 KM, kena lalu 6 buah stesen.

Gunung Fuji jauh ke tengah. Dari Stesen Ubako yang tingginya 878 meter dari paras laut. Dah lebih 2 kali ganda ketinggian Bukit Broga. 

Sepatutnya dari Sounzan ke Ubako boleh naik ropeway. Malangnya gunung berapi agak aktif waktu tu. Jadi ada satu laluan ropeway terpaksa ditutup.

Kawasan yang berasap tu dipanggil Owakudani. Di situlah laluan ropeway yang ditutup. Aduh, baru ingat nak makan Telur Hitam Owakudani, iaitu telur ayam yang direbus dalam air panas gunung berapi. Katanya kalau makan telur ni, boleh panjang umur. Kah!

Jadi sebab laluan ropeway Owakudani tutup, cuma dapat merasa separuh sahajalah naik ropeway. Ini perjalanan turun dari Stesen Ubako ke Togendai yang terletak di sebelah Tasik Ashi. 

Aku rasa tak puas naik. Jadi aku naik balik dari Togendai ke Ubako. Lepas tu turun semula ke Togendai. Jangan risau, naik banyak mana pun tiada siapa marah asalkan ada Hakone Freepass.

Ropeway, bas dan kapal lanun. Di Stesen Togendai. 741 meter dari paras laut.

Ok, naik kapal lanun lah pula kita. Yarr!!! 

Bersambung di Bahagian 2


// Roman Jalanan © 2017
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/988606587912438
Jalan Jalan Hakone - Bahagian 1 Jalan Jalan Hakone - Bahagian 1 Reviewed by Reazal on 11:35:00 AM Rating: 5

1 comment:

  1. Tambahan: Kalau nak naik Romancecar ke Hakone, itu kena bayar lain. Tapi Hakone Freepass tetap kena beli juga. Kalau sanggup naik keretapi biasa, Hakone Freepass pun dah cukup.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.