Semusim Sakura Bertasbih

Memang sengaja pilih awal bulan April waktu pergi ke Jepun tempoh hari. Sebabnya, di bulan inilah majoriti kawasan di sana dilitupi sakura yang kembang menguntum.

Sungguh, sakura yang merimbun, indahnya melantun ke jiwa. Memandang sakura boleh menerajang kekusutan fikiran. Bayangkan, kalau orang-orang Jepun sendiri pun sangat teruja dengan kehadirannya, apalagi aku yang pertama kali bertentang mata dengan bunga sakura?

Di musim sakura, kita boleh “hanami” yang secara harfiah bermaksud “melihat bunga”. Hanami boleh diraikan oleh sesiapa sahaja, tak terhad kepada orang Jepun. Di mana ada sakura, di situ hanami boleh diraikan. Paling ringkas, hanami diraikan dengan sekadar bersiar-siar di bawah rimbunan sakura.

Lihat dan hayati sakura, tapi dipetik jangan.

Lazimnya orang Jepun ber-hanami dengan membentang tikar di bawah lindungan pohon sakura. Kemudian duduk makan dan minum bersama teman dan keluarga. Tapi kalau lambat “tempah” tempat, memang kirim salam sahajalah kepada tempat yang strategik. Ada sesetengah taman tu, awal pagi lagi aku tengok dah ada banyak tikar terbentang, tapi orangnya tiada.

Apa pun, kembang sakura sekejap sahaja. Paling lama sesudah dua minggu berkembang, bunga-bunga sakura akan gugur ke bumi. Walaupun keindahan sakura terlalu singkat, tapi itulah sebabnya kenapa hanami perlu lebih dihayati.

Pernah aku terbaca bahawa falsafah di sebalik hanami adalah sebagai metafora kepada kehidupan manusia yang sementara. Kerana singkatnya hidup ini, maka hargai dan rayakan hidup ini sebaiknya.

Jadi kalau merancang ke Jepun sebab nak lihat sakura, pastikan beli tiket kapal terbang sewaktu sakura mekar berkembang. Boleh rujuk Kalendar Sakura sebab bukan semua tempat tarikh kembangnya sama: https://www.jnto.go.jp/sakura/eng/index.php

Di hadapan National Art Center. Merimbun sakura di sini, tapi tak semua tempat kita boleh hanami bentang tikar.

Di sekitar Tokyo Midtown.

Yang ada meja-meja tu restoran sebenarnya. Kalau halal, memang lama dah makan situ. Sambil jamu perut, jamu mata sekali. Tapi apakan daya.

Kerana dirimu begitu berharga!

Tikar ada, orang tiada. Maksudnya tempat tu dah kena tempah awal-awal.

Hanami waktu malam dipanggil yozakura. Di tempat-tempat yang ramai orang ber-yozakura, biasanya akan ada lampu tanglung dipasang.

Di Shinjuku Gyoen Garden. Taman paling cantik untuk hanami. Kalau sakura tak berbunga pun, memang cun taman ni. Cuma masuk kena bayar 200 yen (RM8).

Dalam sebelah kanan gambar, ada perempuan bawa beg plastik. Dalam tu ada sampah lepas hanami. Di Jepun banyak tempat tak ada tong sampah. Jadi tanggungjawab sendiri bawa balik sampah. Macam di Shinjuku Gyoen ni, sebesar-besar taman ni tak ada tong sampah, tapi tetap bersih suci murni.

Masih lagi di Shinjuku Gyoen. Cuma bahagian taman yang lebih dalam. Di bahagian ni tak ada orang hanami sangat sebab kurang sakura merimbun.

Sakura sebenarnya ada banyak baka. Ini sakura baka “Yaezakura” yang agak jarang juga nak jumpa. Kelopak dia banyak; ada dalam 10-20. Lazimnya bunga sakura ada 5 kelopak.


// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/937188723054225
Semusim Sakura Bertasbih Semusim Sakura Bertasbih Reviewed by Reazal on 3:44:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.