Biarkan Pakcik Makcik Itu Berdiri

Sampai sahaja di Jepun, aku terus berpesan kepada isteri: "Kalau dapat tempat duduk dalam keretapi, dan kemudian ada warga tua masuk, tak perlu bangun dan beri tempat duduk."

Isteri aku naik pelik. Itu "nasihat" kurang ajar. Silap gaya boleh viral di media sosial seandainya dilakukan di Malaysia. Terbit juga keraguan nak ikut petua aneh yang sebenarnya aku terjumpa sewaktu mengkaji sistem keretapi Jepun.

Kegilaan apakah ini tak nak beri tempat duduk kepada warga tua?

Jadi sewaktu duduk dalam keretapi, bila ada warga tua masuk, aku pun pura-pura tak nampak mereka. Dan sangat membingungkan bila TIADA seorang pun orang-orang muda Jepun yang kuat zahirnya mahu bangun memberikan tempat duduk kepada pakcik dan makcik tua yang baru masuk!

Aku sangkakan itu cuma kebetulan. Lagi pun sepanjang menaiki keretapi, sama ada jenis atas-tanah atau bawah-tanah; jarang juga bertembung dengan warga tua yang berdiri. Sehinggalah aku naik trem terakhir Tokyo di suatu senja yang dingin, barulah aku pasti itu bukan lagi satu kebetulan.

Trem Terakhir Tokyo
Buat yang tidak tahu, trem adalah sejenis keretapi yang "berkongsi" landasan dengan jalan raya. Di Tokyo, hanya tinggal satu sahaja laluan trem (Toden Arakawa Line) sepanjang 12 KM dan mempunyai 30 buah stesen. 53 minit diperlukan untuk trem ini bergerak dari pangkal ke hujung.

Inilah trem terakhir Tokyo yang mana aku tidak lepaskan peluang untuk menaikinya.

Mulanya bercadang untuk naik trem ini pada waktu bukan puncak. Tapi macam biasalah, tak semua yang dirancang menjadi. Namun sebab aku naik dari Stesen Minowabashi, iaitu stesen pertama trem ini, maka aku dan isteri dapat tempat duduk yang selesa dan strategik.

Semakin jauh trem bergerak, perutnya diisi oleh lebih ramai warga tua berbanding yang muda. Dan semakin lama, semakin ramai pula warga tua yang berdiri. Perasaan serba salah terus meracuni diri. Mungkin lebih ramai warga tua ada di sini kerana kedudukan laluan trem ini yang sedikit jauh dari Pusat Tokyo.

Tapi melihatkan orang-orang muda yang lain dengan selambanya terus duduk, maka aku bunuh sahaja niat nak beri tempat kepada yang lebih memerlukan. Jadi di dalam trem inilah, aku jadi 100% yakin bahawa suratan budaya di sana mengatakan bahawa tidak harus memberikan tempat duduk kepada warga tua ketika di dalam bas atau keretapi.

Persoalannya sekarang, mengapa pula?

Dikatakan bagi masyarakat Jepun, sebenarnya menjadi lebih kurang adab kalau memberikan tempat duduk kita kepada yang lebih tua sewaktu di dalam kenderaan awam.

Jepun memiliki populasi warga tua yang sangat besar berbanding negara lain. Lantas mereka ada pandangan yang sedikit berbeza dalam bab memberi keutamaan kepada warga tua. Memberikan tempat duduk kepada golongan ini akan membuatkan mereka terasa "sudah tua" dan perlu "dibantu". Bahkan mereka akan terasa seperti "menyusahkan orang lain".

Kalau berdegil juga nak beri tempat duduk, boleh terus bangun sahaja dan berlakon seolah-olah kita sudah mahu turun. Pakcik atau makcik itu akan duduk dengan sendirinya kalau mereka mahu.

Kesimpulannya kalau ke Jepun, tak payahlah susah-susah bangun nak beri tempat kepada warga tua sewaktu di dalam bas dan keretapi. Tiada siapa akan viralkan kisah jijik anda.

Kalau nak naik trem ni, kena berjalan 7 minit dari Stesen Minowa (Tokyo Metro Hibiya Line).

Stesen 01 - Minowabashi

Cadangnya nak beli Toei Streetcar One Day Pass supaya boleh naik tanpa had. Tapi tak jumpa tempat nak beli. Bila aku tengok semua orang bayar terus dekat abang drebar, aku pun tanya dia mana nak beli. Dia cakap dah habis. Bila dia tengok aku jadi terbangak-bangak, terus dia suruh aku dan isteri naik. Mula-mula aku tak faham, tapi tengok gayanya ini macam dapat tawaran naik percuma.

Dari jendela abang drebar yang kawtim naik percuma. 

Stesen 16 - Oji-ekimae. Tempat pertukaran Tokyo Subway

Rancangan asal nak redah kesemua 30 stesen sehingga ke Waseda. Tapi memandangkan aku ni pun naik percuma dan agak sesak, aku turun di hentian ke-16, iaitu Stesen Oji-ekimae. Trem ni kecil saja sebenarnya. Cuma ada 1 gerabak. Naik pintu depan, turun pintu belakang.

Menanti trem yang sedang menanti lampu merah bertukar hijau. Boleh nampak landasan trem di bahagian bawah gambar.

Selamat jalan trem terakhir Tokyo. Aku doakan engkau panjang umur. Semoga terus kekal berkhidmat untuk warga kota!

// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/915734878532943
Biarkan Pakcik Makcik Itu Berdiri Biarkan Pakcik Makcik Itu Berdiri Reviewed by Reazal on 6:04:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.