Nasi Ayam Ameyoko vs Kebab Roppongi

EPISOD NASI AYAM
Ini sebuah kedai yang tersepit di celah kesibukan Ameyoko Street Market. Tempat ini ada aura semacam Chow Kit; cuma lebih kemas dan mungkin tiada tikus sebesar anak kucing menjajah kawasan.

Abang Nasi Ayam

Arakian keadaan kedai nasi ayam ni ibarat warung tepi jalan kalau di Malaysia. Sambil makan sambil orang lalu tepi. Kerusi dan meja makan pun tak semenggah mana. Sewaktu mengisi perut, telinga disajikan lagu-lagu Hindi yang aku tidak fasih tajuknya melainkan Gerua dari filem Dilwale.

Ada 3 benda menarik tentang kedai ni.

Pertama, nasi ayam dia bukan macam nasi ayam yang kita selalu makan. Di sini, nasi ayamnya memang betul-betul Nasi & Ayam. Tiada sayur, tiada kicap manis, tiada sambal dan tiada sup. Kalau nak pedas, bolehlah tambah sendiri sos. Ayamnya dipanggang dan sedap juga rasanya.

Kedua, abang ambil order di kaunter bersifat sangat ekstrovert. Dia nampak orang Malaysia, dia jemput singgah dalam Bahasa Malaysia. Dia nampak orang Jepun, dia panggil dalam Bahasa Jepun. Dia jumpa orang Cina, dia ajak makan dalam Bahasa Cina. Aku tak pasti pula dia ni warganegara mana. Kalau aku nak meneka, mungkin dari Filipina.

Ketiga, ramai artis Malaysia makan di sini. Ada banyak gambar Abang Nasi Ayam dengan selebriti seperti Zizan Razak, Jihan Muse, Fizo & Mawar, dan Ustaz Don. Musykil juga aku macam mana dia tahu yang datang tu artis? Agaknya kalau aku cakap aku ni pelakon filem di Malaysia, agaknya dia percaya tak? Agaknya dia akan tempel gambar aku di kedai dia tak?

Abang Nasi Ayam boleh ingat semua nama selebriti Malaysia yang bergambar dengan dia.

Kedengaran lagu Gerua. Aku rasa tuan kedai mungkin orang Pakistan.


EPISOD KEBAB
Kadang-kadang aku rasa kebab ni macam makanan halal antarabangsa sebab ada di mana-mana. Sepayah mana pun nak cari makanan halal di sesebuah negara, pasti ada satu dua kedai kebab menjadi penyelamat. Di Greenland aku tak pasti la pula!

Ada beberapa kedai kebab halal di Tokyo. Salah satunya Asian Kebab di Roppongi yang merupakan kawasan agak elit di sana. Kalau di Malaysia ibarat Bukit Bintang la gamaknya.

Tiba di kedai ni pun sudah masuk tengahari; waktu perut sudah menyanyi-nyanyi sejak pagi lagi. Masuk sahaja terus disapa mesra oleh lelaki bertopi putih dan berkemeja petak. Aku sangka dia berbangsa Pakistan. Sembang punya sembang, rupanya dia ni orang Nepal dan baru sahaja beberapa bulan di Tokyo.

Pekerja Asian Kebab

Lu berani, lu masuk!

Waktu aku sedang makan, datang 2 orang pemuda Jepun duduk memesan kebab. Biar pun masih baru di Tokyo, lelaki Nepal ini boleh mengambil pesanan dalam Bahasa Jepun. Aku tak hairan sebab nak tak nak, dia wajib mahir selok-belok bahasa di sana kalau mahu terus hidup.

Cuma yang paling menghairankan adalah bila mamat Jepun tu makan tersangat laju dan habis dulu dari aku! Padahal waktu dia pesan menu yang sama seperti aku, aku dah mula makan. Bahkan, kalau ikut piawaian Malaysia, aku ni makan agak laju la juga.

Tapi macam mana dia boleh habis dulu di saat kebab aku masih lagi ada separuh?

Kebab 3 lapis aku panggil. Nasi dan kebab hilang ditelan tsunami kobis.

// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/886174211489010
Nasi Ayam Ameyoko vs Kebab Roppongi Nasi Ayam Ameyoko vs Kebab Roppongi Reviewed by Reazal on 8:34:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.